Isnin, 19 Januari 2009

Warkah Hampehh.. (Khas Untuk Bekas Awekku)

Sayang...

Dalam kesuraman ultra lembayung tika bulan menumpahkan cahaya dibawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan memori dan nostalgia cinta lama yang kita lalui bersama suatu ketika dahulu. Kehadiranmu bersama molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit di tali perutku. Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu gelora dan syahdu. Kau juga mengajarku erti cinta, unta, kuda, kusta, kotak pensil, tali kasut dan pasu bunga. Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka. Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Courtney Love yang tidak dapat dipisahkan. Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Hollywood itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak lipan di Burma. Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.

Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah secara besar-besaran di Lembah Klang. Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan hepatitis-B secara mengejut. Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke ruang angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tiada lagi berfungsi setelah aku tersungkur dalam permainan cinta yang berlarutan hingga ke rubber-set. Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelita bagaikan terperangkap di dalam jamban yang terputus bekalan elektrik di waktu malam nan sunyi.

Kondominium cinta yang kita bina dari makgat basikal dan selipar Jepun akhirnya musnah dijilat api setelah kau berpaling tadah. Ternyata sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa raya. Sejak itu kau sering melarikan diri bila terserempak dengan abang iparku. Akhirnya aku menyedari bahawa diri ini tidak diperlukan lagi.

Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar nampak lebih cantik. Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah kemana menghilang. Aku cuba bermain badminton sambil berlari setempat untuk melupakanmu, tetapi aku tak berdaya. Lantas aku membakar bas sekolah dan membelasah empat ekor itik serati milik jiran sebelah rumahku sebagai tanda aku tidak bersalah.

Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua bisa terjadi? Mengapakah sikapmu begitu celaka sekali? Mengapa setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri. Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni berisi rokok kretek seludup yang kau timpakan di atas belakangku. Derita yang kau timpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk ku tanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak dan 386 ekor anak beruk. Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT dan kemudiannya digilis pula tren Komuter laluan Pasar Seni - Padang Jawa hingga aku hancur berkecai. Oh! terlalu berat dugaan yang kutempuhi kini. Kau sememangnya kejammmm..!!

Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa diriku. Aku hanya insan biasa yang suka makan mi segera. Aku bukan McGyver, McDonald's, Syaiton Nirrojim atau Kesatria Baja Hitam. Aku juga bukanlah Ultraman seperti yang kau idam-idamkan. Aku menyedari kekurangan diri ini dan kekurangan kemudahan awam di tempat sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi basi dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun luput tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah pemberianmu dahulu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk dibuat makanan lembu.

Walaupun segalanya telah pun berakhir, disini, diatas pokok getah ini aku tetap menunggu kau akan kembali. Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut dan selipar di sekitar Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak berpecah, aku tetap menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan. Namun aku menyedari bahawa penantianku hanyalah sia-sia belaka. Akhirnya aku mengambil keputusan muktamad untuk menunggu tiang elektrik dihadapan rumahku berbuah. kalau dah berbuah nanti, aku poskan buahnya kepadamu. Nak tak?

- (Rintihan Rasa, 19hb. Januari 2009, 10.00 p.m) -

0 komen: