Sabtu, 18 April 2009
Sampah
Salamm semua...
Bila disebut 'Sampah', ramai yang tak suka akan sampah. Sebabnya, sampah sering dikaitkan dengan benda-benda yang kotor, busuk dan tidak berguna. Itulah dia takrifan sampah yang paling senang kita fahami.
Lazimnya, sampah akan dibuang, dicampak merata-rata dan dibuang ke tempat selayaknya ia tinggal, iaitu di dalam bakul sampah dan seterusnya ke tempat pelupusan sampah. Begitulah hinanya sampah. Malah, golongan penagih dadah juga dipanggil 'Sampah Masyarakat' untuk menggambarkan betapa hinanya golongan ini di sisi masyarakat.
Sedar atau tidak, sesuatu yang menjadi sampah, asalnya adalah daripada sesuatu yang berguna. Misalnya, tisu. Baunya wangi, warnanya putih bersih dan kita menyimpannya di tempat yang istimewa seperti di dalam poket atau di atas dashboard kereta saat ia belum digunakan. Tetapi bila sahaja kita telah gunakannya, tisu itu kita renyuk, buang dan lupuskan ke dalam tong sampah - tanda ia sudah tak berguna lagi. Begitulah malangnya nasib tisu. Walaupun ia suci dan bersih, sayangnya ia hanya berguna bila ingin mengelap atau membersihkan benda-benda yang kotor - walaupun kekotoran pada tisu itu datang dari diri kita sendiri.
Tapi, di sebalik hinanya sampah, ia juga menjadi manfaat bagi sesetengah orang. Kehadirannya seakan rahmat kerana di situlah adanya punca rezeki bagi mereka. Contohnya, tin aluminium, botol-botol plastik, kertas yang telah dibuang akan dikutip, dikumpul dan kemudiannya dijual oleh mereka yang ingin mendapatkan rezeki dengan cara yang halal. Ini adalah contoh bagi mereka yang tahu memanfaatkan sesuatu yang biasanya orang tak pandang. Malah kadangkala golongan sebegini sering dipandang sepi, sinis dan adakalanya dipandang hina oleh sesetengah orang - sama juga seperti sampah.
Bila melihat sampah, kadang-kadang kita boleh kaitkan ia dengan kehidupan kita. Banyak yang boleh kita pelajari daripada longgokan sampah yang berada di sekeliling kita. Pepatah ada mengatakan, 'Kawan ketawa senang dicari. Kawan menangis sukar sekali ditemui'. Dalam konteks hubungan sesama manusia misalnya, kita mungkin boleh menjadi sesuatu yang berharga apabila kita boleh mendatangkan manfaat untuk mereka pada masa tersebut. Tapi tidak mustahil juga kita akan dianggap dan dilayan seperti sampah setelah dirasakan bahawa diri kita tidak berguna lagi. Sama seakan nasib tisu seperti yang telah aku katakan tadi. Ada kes kawan makan kawan, habis madu sepah dibuang, melepaskan anjing tersepit dan lain-lain. Semua itu menggambarkan betapa 'sampah'nya sesetengah golongan manusia di bumi ini - mengambil manfaat dan mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Mereka inilah sampah yang sebenar-benarnya.
Manusia memang mudah lupa. Lupa akan asal usulnya. Lupa bahawa hidup ini bagaikan putaran roda. Boleh sahaja berada di atas atau di bawah pada bila-bila masa tanpa dapat dijangkakan bila. Waktu susah, keluarga / kawan adalah amat perlu untuk mendapatkan bantuan dan meluahkan rasa. Tapi apabila telah senang, bermulalah episod 'manusia mudah lupa' ini. Keluarga / kawan itu akan diketepikan, dipandang sepi - seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dikenangkan, seterusnya dibuang seperti sampah, atau dianggap hina seperti kucing kurap. Kehadirannya dianggap menyusahkan, menyibuk dan mengganggu urusan mereka. Sedangkan 'kucing kurap' itulah dahulu yang sentiasa berada di sisinya, saat dirinya susah dan menderita.
Teman.. Jagalah keluarga dan kawanmu sepertimana kau memerlukan mereka suatu ketika dahulu..
Janganlah kau anggap mereka itu sampah, yang hanya menyusahkan hidupmu, sedangkan 'sampah' itulah yang pernah membantumu di saat kau susah suatu ketika dahulu..
Tapi malangnya, manusia mudah lupa.. Dan manusia memang selalunya begitu..
- Rintihan Rasa, 18hb. April 2009, 10.40 p.m -
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 komen:
Catat Ulasan